Search This Blog

Monday 13 June 2011

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad Bin Idris – (1757-1835)

Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris dilahirkan di Maisur iaitu sebuah perkampungan di dalam daerah ‘Arayish, yang terletak di kota Fez (Morocco) pada bulan Rejab tahun 1163 H (1749-50 Masihi). Namun ada riwayat pula yang menyebut bahawa beliau dilahirkan pada tahun 1172H (1757-58 Masihi).Nama penuh beliau adalah Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris ibn Muhammad ibn ‘Ali ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Abdullah ibn Ibrahim ibn Umar ibn Ahmad ibn ‘Abdul Jabbar ibn Muhammad ibn Yamluh ibn Masyish ibn Abu Bakar ibn ‘Ali ibn Hurmah ibn ‘Isa ibn Salam ibn Marwan ibn Haidarah ibn Muhammad ibn Idris al-Asghar ibn Idris al-Akbar  ibn ‘Abdullah al-Kamil ibn al-Hassan al-Muthanna ibn Saiyyidina Hassan al-Sibt ibn Saiyyidina ‘Ali dan Saiyyidatina Fatimah al-Zahra’ binti Habibuna Saiyyidina Muhammad Rasulullah . Beliau merupakan ahli keluarga Syarif Hasani Idrisi yang masyhur di Morocco kerana keturunan Imam Idris ibn ‘Abdullah al-Mahd pernah mempunyai kerajaan dinasti di Fez (788-974).

Semenjak kecil lagi Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris dididik dalam suasana yang penuh dengan kezuhudan dan keilmuan dan telah berguru dengan beberapa ulama dan ahli sufi yang termasyhur di zamannya. Melihat pada latar belakang pendidikan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris, ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu terutama hadith, tafsir, fiqh (4 mazhab) dan tasawwuf.


Selain daripada mempelajari al-Quran, Hadiths, ilmu Tafsir, Aqidah dan Fikh, beliau telah mempelajari ilmu tasawuf sampai mendapat ijazah untuk mengajar ilmunya dari seorang sufi pimpinan Tariqah Khidriah, yakni Tuan Shaykh Sayyid Abu Al-Mawahib Abdul Wahhab at-Tazi . Gurunya yang lain dalam bidang tasawuf adalah Tuan Shaykh Abdul Qosim Al-Wazir (Tariqah Syaziliah) dan Shaykh Hasan Al-Qina’i (Tariqah Khalwatiah). Di sini nampaknya beliau mendalami dan mengajarkan bermacam Tariqah lainnya. Beliau telah menerima beberapa tariqah seperti Tariqah Naqshabandiah, Qadiriah, dan lain-lain lagi.

Beliau mendapat ajaran Tariqahnya sendiri langsung daripada Rasulullah.Dalam pertemuan suri  di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris dengan Rasulullah itu, Nabi Allah Khidr hadir sama. Rasulullah telah mengarahkan Saiyidina Khidr supaya mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad akan ayat-ayat dzikir Tariqah Syaziliyah. Kemudian, Baginda menyuruh Nabi Khidr mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad akan dzikir, selawat dan istighfar yang terbesar dan terafdhol sekali. Maka Nabi Allah Khidr mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad lafaz Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir. Dalam pertemuan itu juga, Rasulullah menerangkan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad sudut keutamaan dan rahsia-rahsia Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir tadi. Selepas itu Baginda mentalqinkan dzikir itu kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad tanpa perantaraan. Maka lahirlah sebuah tariqah yang agung yang dipimpin dan disebarkan oleh al-Qutb al-Muhaqiqqin Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris ini.

Pada pandangan ahli sufi, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris dianggap sebagai seorang wali yang telah mencapai maqam Qutub iaitu martabat yang tertinggi dalam pimpinan kaum sufi dan juga dikatakan meraih maqam Sultan Salatin al-Awliya. Selain daripada itu, beliau juga terkenal sebagai seorang ulama pembaharu (mujadid). Beliau telah banyak menggembara dan berdakwah di jalan Allah serta menyebarkan ajaran Tariqahnya ke merata tempat hingga ke Makkah, Madinah, Mesir, Sudan, Yaman, etc.

Beliau telah wafat pada malam Sabtu di antara waktu Maghrib dan Isya’ pada tanggal 21 Rejab. Anak muridnya Saiyyid al-Soleh Ahmad Uthman al-‘Uqaili dilantik untuk memandikannya dan jenazah beliau telah disembahyangkan oleh al-‘Allamah al-Wali Saiyyid Yahya ibn Muhsin al-Ni’ami al-Hasani . Beliau dikebumikan pada pagi itu, 21 Rejab 1837 Masihi (1253 H) di Sabya. Kota Sabya yang pada masa itu berada di Tanah Yaman, namun sekarang adalah di bawah kuasa Kerajaan Saudi.



No comments:

Post a Comment